Sunday, 6 March 2011

AHLAN WASAHLAN WAMARHABAN BIKUM

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.

Alhamdulillah dengan izin Allah Subhanallahu Ta'ala dapat saya meneruskan sunnah perjuangan Rasulullah dalam era komunikasi terkini dengan lahirnya blog Asy-Syuro_Kiambangsari. Sebagai pengenalan, Asy-Syuro adalah merupakan surau yang terletak di Persiaran Kiambangsari, Bandar Sungai Buaya.

Sejarah penubuhan Surau Asy-Syuro ni agak unik kerana ia seperti anugerah Allah kepada penduduk Kiambangsari di atas usaha untuk membina sebuah surau bagi mendirikan solat jema'ah sebagai melaksanakan fardhu kifayah yang menjadi tuntutan terutamanya ke atas penduduk Kiambangsari.

Ringkas cerita setelah pelbagai usaha dijalankan seperti Kutipan Derma, Gotong Royong Membina Surau di tapak yan gtelah digazetkan, menganjurkan Malam Kesenian Islam dan sebagainya, Alhamdulillah usaha kecil penduduk Kiambangsari ni telah dibantu Allah dengan memberi ilham dan kekuatan kepada seorang hamba Allah yang bernama Jasmi Bin Hassan.

Menurut sumber, suatu malam, sdr Jasmi melontarkan niatnya pada rakan-rakannya ketika minum disebuah kedai makan untuk membantu sesiapa yang ingin membina surau. Tetiba datang seorang perempuan dan membawa surat memohon sumbangan membina surau yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Asy-Syuro, ketika jam menunjukkan tepat jam 12 tengah malam. Dengan kekuatan yang Allah beri, beliau telah pergi ke alamat yang tertera pada surau tersebut pada esok hari dan merasa pelik kerana alamat tersebut adalah rumah kediaman. Beliau hampir membatalkan niatnya, tetapi Allah telah menggerakkan hati salah seorang penghuni untuk bertanya beliau. Memang benar asalnya rumah kediaman di Jalan Kiambangsari 6 telah disewa untuk dijadikan surau sementara, namun setelah tapak surau digazetkan, penduduk telah bergotong royong untuk membina surau sementara bagi mengurangkan kos sewa. Setelah dimaklumkan oleh penduduk disitu, beliau terus ke lokasi surau sementara dan menghubungi Pengerusi Persatuan Penduduk iaitu abg Hadzir, yang pada ketika itu hanya nombornya sahaja yang terpapar di papan kenyataan.

Amat mencabar juga kerana abg Hadzir pada ketika itu tiada di rumah dan berada di kampong atas urusan keluarga. Akhirnya, walau bermacam rintangan yang dihadapi oleh sdr Jasmi, keikhlasan beliau telah dibantu Allah untuk meneruskan niatnya dan pada tahun 2005, tersergamlah Surau As-Syuro, Kiambangsari.

Seluruh warga Kiambangsari mengucapkan jazakallahu khairal jaza' kepada sdr Jasmi di atas sumbangan yang diberikan dan kami sentiasa mendo'akan agar sumbangan khairat yang diberikan akan dianugerahkan dengan pahala yang berlipat kali ganda sesuai dengan sabda Rasulullah Salahu'alaihi Wasalam yang bermaksud :-

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anh , sabda Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam :

“Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya melainkan 3 sahaja, iaitu Sedekah Jariah, Ilmu yang dimanfaatkan dan Anak yang soleh yang mendo’akannya”

Sekarang menjadi tanggungjawab penduduk Kiambangsari untuk mengimarahkan masjid dan semoga dengan terhasilnya blog, segala perancangan dan program yang dianjurkan oleh Surau Asy-Syuro akan dapat dikongsi bersama oleh semua penduduk Kiambangsari Khususnya dan seluruh umat Islam Amnya, InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment